Selasa, 19 Januari 2010

aspek keselamatan

PULAU PINANG 19 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pentadbiran sekolah termasuk guru bertindak secara bijaksana menjalankan aktiviti kokurikulum khususnya yang memerlukan aspek keselamatan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian tidak berupaya untuk memantau setiap aktiviti tersebut berikutan jumlah sekolah yang besar iaitu kira-kira 10,000 buah di seluruh negara.
''Sekarang ini, apabila saya bercakap di sini, di tempat lain ada murid-murid sedang melakukan aktiviti kokurikulum sekali gus agak sukar untuk kita pantau, malah kita juga tidak tahu keadaan di tempat itu.
''Seperti di sini, mereka buat latihan perahu naga, sesetengah sekolah pula buat aktiviti lain, jadi guru yang terlibat perlu pastikan semua aspek keselamatan diutamakan, ia terserah kepada kebijaksanaan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi perahu naga terbalik di Tempat Simpanan Mayat Batu Gantung di sini hari ini.
Pada pertemuan itu, Muhyiddin menyampaikan salam takziah selain menyerahkan sagu hati bagi membantu menguruskan mayat mangsa terlibat.
Terdahulu, beliau melawat lokasi tragedi yang meragut nyawa enam orang termasuk seorang guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling di kawasan Pantai Macallum di sini.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.
Hadir sama, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, beberapa Exco kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat dan pemimpin komponen parti Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin juga menggesa pihak sekolah memastikan segala aspek keselamatan diambil kira dan garis panduan dipatuhi sebelum menjalankan aktiviti kokurikulum.
Ditanya mengenai bayaran pencen guru yang maut dalam tragedi itu, beliau berkata, ia tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan.
''Kita perlu meneliti kedudukannya macam mana kerana ada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan, apa-apa pun kita akan semak apa yang kita boleh bantu, kita akan bantulah," jelasnya.

Tiada ulasan: